Monday, April 21, 2008

Kisah Beruk dan Manusia Lawan Tarik Tali


Teringat Wohgomok semasa zaman kecil-kecil dulu, Wohgomok selalu tidur dengan nenek dan setiap malam sebelum tidur, nenek akan menceritakan bermacam-macam kisah dongeng untuk melenakan cucu kesayangannya. Diantara kisah-kisah yang Wohgomok masih ingat ialah kisah beruk dan manusia main lawan tarik tali. Dalam posting ini Wohgomok ingin menceritakan semula kisah dongeng yang di ceritakan nenek dahulu dengan sedikit pengubahsuaian, kerana semasa nenek menceritakan pada Wohgomok masa itu mungkin nenek banyak meringkaskannya disebabkan pada fikirannya hanya sekadar untuk melenakan cucunya sahaja.

Sebelum Wohgomok menceritakan kisah ini, terlebih dahulu di maklumkan bahawa kisah ini tiada kena mengena dengan sesiapa, samada yang masih hidup atau yang sudah meninggal serta yang masih memerintah atau yang sudah memerintah. Jikalau ada apa-apa persamaan, itu adalah kebetulan sahaja.

Mengikut cerita nenek pada zaman dahulu manusia dan beruk boleh berintraksi dengan baik, beruk memahami bahasa manusia dan manusia pula memahami bahasa beruk. Maka tersebutlah kisah didalam sebuah kampung yang dikuasai oleh kumpulan beruk yang mana ketuanya adalah seekor beruk yang sangat berkuasa dan di geruni oleh semua kumpulan beruk dan juga manusia di kampung itu.

Pada suatu hari ketua beruk ingin megadakan satu perlawanan tarik tali diantara kumpulan beruk dan manusia yang menawarkan kuasa pemerintahan kampung sebagai hadiahnya. Kata nenek, perlawanan yang sebegini memang selalu diadakan dikampung itu tetapi selalunya kumpulan beruk yang menang. Maka ketua beruk pun mulalah mengira hari untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk diadakan perlawanan dan siapakah yang patut mengadili perlawanan tersebut. Setelah mendapat ilham, ketua beruk pun menetapkan tarikh yang boleh dikira sebagai tarikh bertuah kepada kumpulan beruk sekaligus memilih pengadil yang telah biasa mengadili perlawanan yang seperti ini serta sentiasa berpihak kepada kumpulan beruk. Pengadil yang di maksudkan ialah ketua kepada kumpulan kera yang sentiasa meminta bantuan makanan dari ketua beruk. Apabila ketua beruk mengumumkan bahawa pengadil yang di pilih adalah ketua kera maka riuh-rendahlah kumpulan manusia dikampung itu dengan bermacam-macam bantahan. Oleh kerana kampung itu telah lama dikuasai oleh kumpulan beruk maka bantahan kumpulan manusia tidak di endahkan. Kumpulan manusia pun terpaksalah akur dengan keputusan ketua beruk.

Apabila tiba hari perlawanan maka gelanggang yang lengkap dengan garisan penentu kalah menang telah tersedia. Pengadil, si ketua kera pun tibalah dengan membawa tali yang telah sedia diikat dengan kain putih (agaknya lambang ketelusan pengadilan) ditengah-tengahnya sebagai tanda penentu kemenagan. Ketua kera yang berada ditengah-tengah tali pun bertanya kepada semua peserta tarik tali tersebut samada sudah bersedia atau belum. Bila semuanya sudah bersedia, maka ketua kera pun memulakan perlawanan. Kata nenek, kekuatan kumpulan manusia pada perlawanan itu agak berlainan daripada perlawanan-perlawanan yang telah lepas. Nenek juga mengagak, mungkin kumpulan manusia pada perlawanan itu telah menjumpai jamu-jamu hebat atau telah mengetahui dimana kelemahan-kelemahan kumpulan beruk atau mungkin juga beberapa ahli kumpulan beruk telah belot kepada ketuanya. Perlawanan pun bermulalah dengan hebatnya. Dengan sekali tarik sahaja, kumpulan manusia telah hampir melepasi garisan kemenagan. Namun sebagaimana yang diketahui ketua kera adalah pengadil yang berat sebelah, beliau telah mengenjakkan kain putih yang diikat pada tengah-tengah tali supaya tidak melepasi garisan kemenangan. Kumpulan manusia bukan tidak menyedari apa yang dibuat oleh pengadil, si ketua kera tadi. Akan tetapi apa yang boleh dibuat kerana kuasa mutlak penentu perlawanan adalah di tangan si ketua kera. Kumpulan manusia pun mulalah menggabung seluruh tenaga lalu menarik dengan sekuat-kuatnya sehingga semua peserta-peserta kumpulan beruk tersungkur kehadapan termasuk dengan ketua kera yang berpegang pada tali ketika itu kerana hendak mengenjak penanda kain putih tadi. Sampai disini cerita nenek, Wohgomok terus terlena.

Malam keesokannya nenek ingin menyambung cerita lagi.Nenek bertanya setakat mana cerita semalam. Wohgomok kata, setakat semua kumpulan beruk tersungkur. Lalu nenek segera menyambung ceritanya dengan berkata, setelah ketua kera dan semua peserta kumpulan beruk tersungkur maka bangunlah semula peserta-peserta kumpulan beruk dengan muka yang amat garang sekali sedangkan ketua kera pengsan sekejap. Melihatkan kegarangan muka kumpulan beruk maka kumpulan manusia pun bersedialah untuk mempertahankan diri. Rupa-rupanya peserta-peserta kumpulan beruk tadi tidak menerkam kepada kumpulan manusia tetapi mereka menerkam kepada ketuanya yang ketika itu juga berada disitu. Mereka memaki hamun ketua mereka sehingga ketua mereka hairan dengan kelakuan anak-anak didiknya yang biasanya tidak pernah membantah segala perkataannya.

Nenek berkata lagi. Memang telah diketahui oleh penduduk kampung itu bahawa ketua beruk adalah seekor beruk yang degil. Beliau tidak endah dengan maki hamun kumpulan beruk tadi. Beliau masih mengatakan beliaulah yang paling berkuasa dan semua kumpulan beruk dan manusia mesti mendengar apa katanya.

Disebabkan terlampau penat akibat terlalu banyak bermain di siang hari, Wohgomok tertidur sebelum nenek menghabiskan ceritanya. Mungkin di lain malam nenek akan menyambung semula cerita beruk tadi.

Salam dari Wohgomok

No comments: