Friday, April 18, 2008

Menteri Besar Kelantan Sebagai Contoh Pemimpin Terbaik



Wohgomok bukanlah seorang penulis hebat yang tersohor atau berpengalaman, tidak juga terlatih untuk menulis tentang kisah mereka-mereka yang ternama dan berkuasa dengan bahasa-bahasa yang mengampu sehingga boleh menyebabkan agin-angin busuk yang nak terkeluar dari perut mereka tak jadi keluar kerana asyik membaca pujian-pujian melampau dari penulis dan seterusnya memikirkan apakah habuan yang patut di beri kepada penulis ini sebagai upah kepada pujiannya. Wohgomok sedar bahawa masa yang Wohgomok gunakan untuk menulis kisah ini bukanlah untuk di tukarkan dengan projek-projek ihasan atau kawasan-kawasan balak sebagai habuan. Wohgomok juga tahu hatibudi orang yang akan Wohgomok kisahkan bukanlah orang yang boleh hilang pertimbangan kerana menerima pujian.

Orang yang Wohgomok ingin ceritakan ini ialah YAB Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan (TGNA) yang Wohgomok kenal dari dekat sejak tahun 1976 lagi. Semasa itu Wohgomok sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Oleh kerana tidak mahu membuang masa percuma (“malas dok ssaja”, kata orang Kelantan) maka Wohgomok telah bekerja sebagai drebar kepada Ahli Parlimen Bachok, YB Haji Mohd. Zain Abdullah atau lebih di kenali dengan panggilan Cikgu Zain (Sekarang bekas YB) yang kebetulan arwah isterinya sepupu kepada Wohgomok dan beliau pula sepupu kepada isteri Wohgomok sekarang. Ketika itu TGNA juga adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Pengkalan Chepa, yang juga sentasa di temani drebarnya iaitu Pak Lah (Bukan Pak Lah Badawi) yang kekal menjadi drebarnya sampai sekarang. Setiap kali ada mesyuarat parlimen TGNA akan ke Kuala Lumpur dengan menggunakan sebuah kereta sahaja bersama-sama Cik gu Zain yang mana kereta yang digunakan samada kereta TGNA atau kereta Cik gu Zain. Semasa di Kuala Lumpur TGNA, Cik gu Zain, Wohgomok atau Pak Lah menginap di Hotel Purnama, sebuah hotel murah di Jalan Ipoh, berdekatan dengan bangunan LUTH lama dan pasar borong ketika itu. Turut menginap di situ juga ialah Allahyarham YB Ustaz Wan Sulaiman (bekas AP Pasir Puteh) dan Allahyarham YB Tuan Guru Hj. Zakaria (bekas AP Rantau Panjang). Wohgomok masih ingat satu peristiwa disuatu pagi (mungkin TGNA dan Cik gu Zain sendiri tidak mengingatinya atau tidak menganggap sesuatu yang harus di ingati) ketika TGNA dan Cik gu Zain sedang mengisi borang tuntutan perjalanan untuk Ahli Parlimen, tiba-tiba TGNA bertanya kepada Wohgomok samada Wohgomok masih ingat atau tidak yang pada satu tarikh (Wohgomok sudah lupa tarikhnya) TGNA dan Cik gu Zain datang ke Kuala Lumpur dengan kereta siapa. Oleh kerana pada masa itu tarikh yang di tanya masih lagi baru, maka Wohgomok boleh mengingatinya.Wohgomok dengan pantas menjawab, “Dengan kereta Abang Zain, Ustaz” (Wohgomok membahasakan Abang Zain kepada Cik gu Zain dan pada masa itu Ustaz kepada TGNA). Lalu TGNA meminta Wohgomok tolong belikan getah penyapu (eraser). Wohgomok bertanyakan balik pada TGNA, “nak buat apa?”, TGNA menjawab, “Ambo tersalah masuk klim dalam borang klim ambo”. Oleh kerana Wohgomok juga boleh dikatakan mulut celupar (“mulut cepelaq”, kata orang Kelantan), Wohgomok menjawab, “Tak apalah Ustaz, dia bukan tahu kita datang dengan kereta siapa”. TGNA terus mengalihkan pandangannya kepada Wohgomok dengan berkata, “Dia tak tahu, tapi Allah tahu”. Dengan jawapan TGNA itu, Wohgomok tersentak dan terus turun dari bangunan hotel untuk pergi membeli getah penyapu yang di minta oleh TGNA.

Satu lagi kisah lain berkenaan TGNA yang boleh Wohgomok ceritakan ialah pada 14hb Oktober 2007 Wohgomok telah mengadakan satu keduri di rumah Wohgomok sempena perkawinan anak perempuan Wohgomok yang keenam. Seminggu sebelum itu Wohgomok pergi solat Asar di mesjid TGNA di Pulau Melaka. Selepas selesai solat Wohgomok kehadapan untuk meminta TGNA mengakad nikah anak Wohgomok pada 13hb Oktober 2007 di sebelah malam dan sekali gus menjemput TGNA untuk hadhir dalam kenduri pada keesokannya, TGNA memberi kesanggupan dengan berkata InsyaAllah. Namun Tuan Imam Mukim Chicha (rumah Wohgomok di Kampong Chicha tidak jauh dari rumah Tuan Imam) tidak membenarkannya. Niat Wohgomok untuk TGNA menikahkan sendiri anak Wohgomok terpaksa dibatalkan. Keesokannya juga TGNA tak sempat hadir majlis kenduri di rumah Wohgomok kerana ada program di Balai Islam, Kota Bharu dan beberapa program tempat-tempat lain.

Sehari selepas kenduri Wohgomok terima panggilan talipon dari Pak Lah (diingatkan sekali lagi bukan Pak Lah Badawi tapi Pak Lah drebar TGNA) mengatakan TGNA nak datang rumah Wohgomok pukul 10 pagi, ketika itu jam sudah hampir pukul 9 pagi. Wohgomok tak sempat nak buat persiapan. Isteri Wohgomok hanya sempat beli roti berinti kelapa di kedai roti kat depan rumah Wohgomok.

Lebih tak berapa minit pukul 10 pagi masuklah kereta Perdana hitam yang di pandu oleh Pak Lah ke depan rumah Wohgomok yang didalamnya TGNA di tempat duduk belakang dan pengawal peribadinya, Pak Ya di tempat duduk hadapan. TGNA turun dari kereta dengan diiringi oleh Wohgomok untuk masuk dalam rumah Wohgomok. Hanya roti yang debeli isteri Wohgomok tadi dan teh o yang mampu di hidangkan kerana gulai kenduri semalam telah habis. TGNA tidak kekok makan roti dan minum the o sambil duduk bertimpuh diatas lantai (bukan diatas kerusi empuk) bersama Wohgomok. Sila lihat slideshow diatas sebelah kanan, bertajuk MB Berjiwa Rakyat dan klik pada gambar untuk melihat sepenuhnya.

Dari pengalaman Wohgomok ini, membuktikan bahawa TGNA bukanlah seorang yang angkuh dengan kedudukannya dan tidak berlakun macam dalam filem hindustan sebagaimana yang turut di tiru lakunannya oleh “pemimpin-pemimpin tanah liat” dan “ulamak-ulamak plastik” hari ini.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang Wohgomok tahu yang boleh membuktikan keikhlasan dan kejujuran TGNA, tetapi kalau hendak di ceritakan semua, takut jemu pulak saudara pembaca sekelian. Nanti Wohgomok ceritakan di lain postng.

-Salam dari WohGomok

No comments: